BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Tuesday, March 10, 2009

KELAHIRAN NABI SAW


KELAHIRAN RASULULLAH SAW

Muhammad dilahirkan di tengah-tengah kota Mekah al-Mukarramah pada hari Isnin 12 Rabi'ul Awal bersamaan 20 April tahun Gajah. Tahun di mana peristiwa penyerangan ke atas Baitillah il-Haram oleh sepasukan tentera di bawah pimpinan Raja Abrahah.

Baginda dilahirkan dalam keadaan yatim setelah ayahnya Abdullah bin Abdul Mutalib wafat semasa Baginda berusia dua bulan di dalam kandungan.



BIDAN NABI SAW

Asyifa’ binti Abdul Rahman bin Auf


PERISTIWA YANG MENAKJUBKAN SEBELUM
KELAHIRAN MUHAMMAD SAW.

Kelahiran baginda menjadi seribu satu tanda bahawa Baginda akan menjadi utusan terakhir dalam menyampaikan risalah Islam. Ia merupakan peristiwa utama dalam sejarah Islam.

Baginda mempunyai kelebihan luar biasa, bukan sahaja dilihat dalam konteks sebelum kelahirannya tetapi dalam konteks semasa dan selepas dilahirkan. Banyak keajaiban yang berlaku sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Pertama, semasa Rasulullah SAW berada di dalam kandungan bondanya, Aminah, beliau tidak merasa susah sebagaimana dialami oleh ibu-ibu yang hamil.

Kehamilannya disedari melalui perkhabaran malaikat yang datang kepadanya ketika beliau sedang tidur. Malaikat mengatakan bahawa beliau telah mengandungkan seorang Nabi dan Penghulu kepada seluruh umat manusia.

Selain itu tanda kehamilannya ialah dengan haidnya terputus dan berpindahnya cahaya daripada wajah Abdullah ke wajahnya.

Kedua, ketika Nur Muhammad masuk ke dalam rahim Aminah, Allah memerintahkan malaikat supaya membukakan pintu syurga Firdaus dan memberitahu semua penghuni langit dan bumi.

Tanah-tanah di persekitaran kawasan tersebut yang kering menjadi subur, pohon-pohon kayu rimbun dan berbuah lebat. Begitu juga haiwan-haiwan di darat dan di laut sibuk membincangkannya.

Ketiga, peperangan tentera bergajah yang disebut di dalam al-Quran surah al-Fil, datang menyerang kota Mekah. Ia diketuai oleh tentera bergajah dengan menunggang seekor gajah besar bernama Mahmudi.

Apabila mereka hampir sampai ke tempat tersebut, gajah-gajah itu berhenti dan berundur dengan izin Allah.

Namun demikian, sekumpulan burung Ababil datang menyerang dan menghancurkan mereka sebagaimana yang disebut di dalam al-Quran. Peristiwa ini amat menakjubkan dan diriwayatkan dalam kitab-kitab sejarah.

Keempat, Aminah turut mengalami mimpi yang menakjubkan. Beliau menadah tangan ke langit dan melihat sendiri malaikat turun dari langit. Ia diumpamakan kapas putih yang terapung di angkasa.

Kemudian malaikat tersebut berdiri di hadapannya. Ia berkata ``Khabar bahagia untuk saudara, wahai ibu daripada seorang nabi. Putera saudara itu menjadi penolong dan pembebas manusia. Namakan dia Ahmad.''

Semasa kelahiran Nabi Muhammad SAW, Aminah ditemani Asiah dan Maryam. Dalam hal ini ia merupakan satu isyarat bahawa Nabi Muhammad lebih tinggi darjatnya daripada Nabi Isa dan Musa.

Keadaan ini diterangkan dalam kitab Taurat dan Injil bahawa akan datang seorang nabi pada akhir zaman.



PERISTIWA MENARIK SEMASA KELAHIRANNYA

Pada subuh hari kelahirannya, keadaan Mekah dan sekelilingnya ketika berada di dalam keadaan yang damai yang menenangkan jiwa. Angin yang bertiup sepoi-sepoi, keadaan alam ketika itu seolah-olah menyambut ketibaan tetamu agung yang tidak pernah dirasai oleh penduduk Mekah sebelum ini.

Kelahiran bayi ini disambut dengan suka cita oleh keluarga bani Hasyim. Di negeri Parsi, kelahiran Muhammad bin Abdullah memadamkan api-api keramat kaum majusi di kuil-kuil yang selama seribu tahun tidak terpadam semenjak dihidupkan. Kelahiran Muhammad juga menggoyangkan sendi-sendi istana Qisro Rumawi dan menyebabkan menaranya roboh. Muhammad lahir dengan membawa panji-panji risalah terakhir dari Allah untuk umat manusia.

Kita ketahui dari sejarah dan hadis bahawa ketika Nabi Muhammad saw lahir, dinding-dinding istana Qisro retak dan menaranya roboh. Api di kuil-kuil persembahan Parsi padam. Danau dan sawah mengering. Berhala-berhala yang memenuhi pelantaran Kaabah tumbang. Cahaya dari tubuh Muhammad memancar naik ke langit dan menerangi semua tempat yang dilaluinya.

Anusyirwan dan pendeta-pendeta Zaratustra mendapat mimpi yang menakutkan. Ketika lahir, Nabi kecil itu telah tersunat dan tali pusatnya pun sudah terpotong. Ketika lahir ke dunia, beliau berkata; “Allahu Akbar, alhamdulillah, Dialah Allah yang harus disembah siang dan malam.”

Peristiwa yang mengawal kelahiran setiap Nabi tidak ada yang terjadi secara kebetulan. Semua peristiwa itu berada dalam realiti dan perencanaan Allah, khususnya yang berkenaan dengan kelahiran Muhammad baik dalam kitab Taurat mahupun Injil. Allah berfirman kepada Nabi ‘Isa:

Maksudnya: ‘Dan ingatlah ketika ‘Isa putera Maryam berkata, “Hai Bani Israil, sesungguhnya aku adalah utusan Allah padamu, membenarkan apa yang sebelumnya dari Taurat pemberi kabar gembira dengan seorang Rasul yang akan datang sesudahku namanya Ahmad.” Maka tatkala dia datang kepada mereka dengan ketera-ngan-keterangan, mereka berkata: “Ini adalah sihir yang nyata.” (Surah al-Saff :6).

0 comments: