BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Thursday, March 5, 2009

DI SEBALIK HARI KEPUTERAANNYA 12 RABIUL AWAL TERSISIP HARI KEWAFATAN NABI SAW



WAFATNYA RASULULLAH SAW

Ketika subuh hari Isnin 12 Rabiul Awal tahun ke 11 hijrah apabila para sahabat dan umat Islam hendak masuk ke masjid untuk menunaikan solat Subuh, Rasulullah menyuruh Aisyah menjiruskan air ke badannya kerana ketika itu Baginda merasa dirinya sedang demam. Apabila Baginda merasa tidak mampu untuk keluar solat, maka Baginda berkata kepada Aisyah, “Suruhlah Abu Bakar untuk keluar solat bersama umat Islam.” Kemudian Aisyah berkata kepada Rasulullah, “Sesungguhnya Abu Bakar seorang lelaki yang lembut hatinya, apabila dia berdiri di tempatmu Ya Rasulullah, maka orang tidak akan mendengar bacaannya kecuali tangisan.” Dan Rasulullah tetap menyuruh lagi kepada Aisyah sebagaimana kata-katanya sebelum ini iaitu menyuruh Abu Bakar solat bersama-sama umat Islam.

Maka solatlah Abu Bakar mengimami umat Islam sebanyak 17 waktu bermula daripada waktu Isyak malam Jumaat sehingga akhir subuh hari Isnin. Tiba-tiba Rasulullah menyelak langsir biliknya sambil tersenyum memandang kepada mereka yang sedang berbaris untuk menunaikan solat subuh. Kemudian Abu Bakar mengundur ke belakang kerana ingin memberikan tempat kepada Rasulullah kerana beliau menyangka Rasulullah sudah kembali sihat.

Namun Rasulullah terus memberikan isyarat dengan tangannya kepada Abu Bakar supaya mereka semua tetap meneruskan solat. Kemudian Rasulullah SAW duduk disamping Abu Bakar lalu Abu Bakar solat mengikut solat Rasulullah SAW yang dilakukan dengan keadaan duduk, sementara mereka yang lain mengikut solat Abu Bakar.

Umat Islam merasa gembira kerana mereka menyangka dengan keluarnya Rasulullah itu bermakna Baginda sudah kembali sihat, tetapi sebenarnya sakitnya bertambah teruk ketika itu. Itulah kali terakhir Rasulullah menunaikan solat bersama-sama umat Islam. Kemudian Rasulullah menutup kembali langsir biliknya dan itulah juga pandangan terakhir Rasulullah kepada para sahabatnya dan umat Islam sebagai membuktikan bahawa Rasulullah sangat sayang kepada sahabatnya serta umatnya.

Rasulullah kembali ke bilik Aisyah lalu berbaring menyandarkan kepalanya ke dada Aisyah menghadapi sakaratul maut.

Tatkala Rasulullah di atas pangkuan Aisyah tiba-tiba pintu rumahnya diketuk seraya memberi salam. Aisyah pun pergi ke muka pintu dan bertanya “ Apa hajat tuan datang ke sini?” Lalu dia menjawab “Aku ingin menemui Rasulullah”. Aisyah menyatakan bahawa Baginda sedang sibuk dengan dirinya sendiri bermaksud bahawa Baginda sedang berperang dengan kesakitan, lalu mengatakan “pulanglah”. Orang tadi memberi salam untuk kali keduanya namun begitu jugalah jawapan yang telah diberikan oleh Aisyah dan apabila kali yang ketiga Baginda SAW terdengar suara itu dan terlintas di hatinya bahawa Baginda amat kenal dengan suara itu, lalu Baginda mengatakan kepada Aisyah “Suruh orang itu masuk!” dan Baginda berkata kepada Aisyah “Kamu kenal siapa dia?” Aisyah menjawab “Tidak” kata Baginda “Dialah pemutus kesenangan dunia, dialah pemisah orang yang disayangi, dialah Izrail Malaikat Maut”.

Baginda bertanyakan kepada Izrail apa tujuan kedatangannya, lalu Izrail berkata “Allah perintahkan aku mencabut nyawamu tetapi sekiranya diizinkan olehmu Ya Rasulullah. Kalau tidak Allah mengarahkanku kembali”. Nabi bertanya “Dimana kau tinggalkan sahabatku Jibril”. “Aku tinggalkan dia di langit dunia” jawab Izrail. “Kenapa?” tanya Baginda SAW. “Dia tidak sanggup melihatmu menghadapi sakaratul maut”. “Panggillah dia” pinta Baginda. Sejurus daripada itu Malaikat Jibril pun turun berada di sisi Rasulullah. Baginda bertanya kepada Jibril “Wahai kekasihku kenapa kau lambat datang menziarahiku”. Berjujuran air mata Jibril tanpa sebarang suara kerana menahan sebak melihat kekasihnya Muhammad berada di dalam kesakitan.

Izrail pun meminta keizinan Baginda untuk menjalankan tugas lalu Baginda berkata “Lakukanlah”. Apabila ruh ditarik dari ubun-ubun, Baginda mengerang kesakitan sambil berkata “Wahai Izrail sakitnya mati ini” Izrail berjujuran air mata seraya menjawab “Tidak pernah aku mencabut ruh seseorang selembut ini melainkan kepadamu Ya Rasulullah”.

Rasulullah mengadu kesakitan, berpeluh dahi Baginda menahan kesakitan sakaratul maut. “Wahai kekasihku Jibril, sakitnya mati ini, bagaimana umatku mampu menanggungnya”. Malaikat Jibril tidak mampu berkata-kata hanya menangis sahaja. Baginda berkata “Wahai kekasihku Jibril, kenapa kamu tidak menjawab dan kenapa kamu berpaling, adakah kamu benci melihat wajahku? Barulah Jibril bersuara “Wahai kekasihku, sebenarnya aku tak sanggup melihat kau dalam keadaan begini” beliau menangis semahunya. “Wahai Jibril, sakitnya mati ini, bagaimana umatku mampu menanggungnya. Wahai Jibril, kumpulkan sakit mati seluruh umatku biar aku yang tanggung sekarang ini” begitu Rasulullah sayang kepada umatnya dan bimbang umatnya tidak mampu menahan sakitnya mati namun permintaannya tidak diperkenankan Allah.

Baginda membuat permintaan kepada Jibril “Wahai Jibril berilah berita gembira kepadaku sebelum aku meninggalkan dunia ini” Malaikat Jibril mengatakan kepada Rasulullah bahawa seluruh pintu-pintu syurga dibuka dan para bidadari sedang berhias-hias menanti ruhmu. “Wahai Jibril, aku masih tidak gembira, berilah berita gembira kepadaku sebelum aku meninggalkan dunia yang fana’ ini”. Jibril berkata “Sesungguhnya seluruh para malaikat sedang berbaris di langit dunia menantikan ruhmu di angkat”.

Rasulullah SAW mengulangi lagi katanya, “Wahai Jibril ia masih tidak menggembirakan aku, ya Jibril! Berilah berita gembira kepadaku” Malaikat Jibril pun menyatakan “Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah memberi jaminan bahawa tidak akan masuk syurga umat-umat lain melaikan umatmu dahulu memasukinya”. Tersenyum Rasulullah mendengarnya, ini membukti kan cintanya yang mendalam terhadap umatnya. Dan akhirnya pergilah Rasulullah SAW menemui Allah SWT dengan tenang.

Baginda SAW wafat dengan meninggalkan sembilan isterinya, iaitu Saudah, Aisyah, Hafsah, Umu Habibah, Zainab al-Jahsy, Juwairiah, Safiah dan Maimunah.

0 comments: