BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Sunday, July 5, 2009

ISRA' DAN MIKHRAJ NABI SEBAGAI SATU MUKJIZAT


Israk dan Mi’raj

Peristiwa Israk Mi’raj sungguh menakjubkan, ia berlaku pada malam 27 Rejab, tahun ke 11 daripada kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Israk dan Mi’raj adalah dua peristiwa yang amat besar dan luar biasa yang di alami oleh Rasulullah SAW dan dianggap sebagai satu penganugerahan yang tinggi nilainya dari segi kerohanian. Kedua-dua peristiwa ini adalah kurniaan Allah SWT kepada baginda untuk memperlihatkan tanda keagungan dan kekuasaan-Nya.

Sungguhpun ia peristiwa luar biasa yang terjadi setahun sebelum Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah itu mustahil dapat dijangkau oleh alam pemikiran manusia, namun kita selaku umat Islam wajib percaya dan meyakini bahawa Israk Mi’raj yang ditempuhi serta alami Nabi Muhammad SAW adalah benar dan berlaku dengan roh dan jasadnya sekali. Segala-galanya boleh berlaku dengan kehendak dan kekuasaan Allah SWT selaku Pencipta dan Pentadbir alam semesta.

Israk bererti perjalanan Nabi SAW dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis, Palestin. Peristiwa ini terakam di dalam al-Quran.

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ 1

Yang bermaksud: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.

Sementara itu, Mi’raj pulah merujuk kepada perjalanan Nabi SAW dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha di langit ketujuh, di singgahsana Allah SWT sepertimana yang digambarkan oleh al-Quran :

وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَى . عِندَ سِدْرَةِ الْمُنْتَهَى . عِندَهَا جَنَّةُ الْمَأْوَى . إِذْ يَغْشَى السِّدْرَةَ مَا يَغْشَى . مَا زَاغَ الْبَصَرُ وَمَا طَغَى. لَقَدْ رَأَى مِنْ آيَاتِ رَبِّهِ الْكُبْرَى 2

Yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya!(Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi disisi ‘Sidratul Muntaha’, yang di sisinya terletak syurga ‘Jannatul Makwa’. (Nabi Muhammad melihat Jibril) ketika ‘Siratul Muntaha’ diliputi oleh makhluk-makhluk alam ghaib yang tidak terhingga. Penglihatan Nabi Muhammad tidak berpaling dari yang dilihatnya dan tepat (akan pemandangan yang indah dan tidak pula melampauinya. Demi sesungguhnya ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhan-Nya.”

Di dalam kitab Sahih Bukhari disebutkan bahawa Ummu Hani’ Isteri Rasulullah menceritakan bahawa singkatnya perjalanan Israk Mi’raj Rasulullah seolah-olah sekelip mata kerana tempat pembaringan Rasulullah masih panas bahang tubuhnya.

Sekembalinya Rasulullah ke Mekah dan sempat solat berjemaah dengan umat Islam bererti perjalanan Rasulullah hanya mengambil masa di antara solat Isyak hingga solat subuh diceritakan peristiwa ini kepada sahabatnya, sejurus itu Abu Bakar al-Sidiq terus membenarkan apa yang diceritakan oleh Rasulullah dan dari peristiwa ini Abu Bakar mendapat gelaran al-Sidiq bermaksud (orang yang benar). Sebenarnya di sebalik keyakinan sahabat-sahabat Nabi SAW ada dikalangan orang Islam yang murtad tidak dapat mempercayai peristiwa itu.

Dan pada pagi tersebut Rasulullah terserempak dengan Abu Jahal dan dengan kata sinis Abu Jahal bertanya kepada Rasulullah ada cerita baru ke pagi ini . Rasulullah menjawab “ Ya, ada “. Lalu Rasulullah menceritakannya kepada Abu Jahal. Dan Abu Jahal pun berkata kepada Rasulullah “ Hendak tak dikau kalau aku panggilkan sahabat-sahabat aku yang lain supaya kau menceritakan perkara yang sama pada mereka”. Sebenarnya tujuan Abu Jahal ialah supaya dia dapat mengetahui apa yang dicerita oleh Rasulullah tadi pasti akan ada penambahan dan pengurangan dengan apa yang diceritakan kepadanya. Fikir Abu Jahal dengan begitu yakin. Apabila datang sahabat-sahabat Abu Jahal, Rasulullah pun menceritakan apa yang telah diceritakan kepada Abu Jahal tanpa sedikit kekurangan malah juga tiada penambahan, alangkah terkejutnya Abu Jahal dan menyesal.

Sahabat-sahabat Abu Jahal terus menguji Rasulullah untuk menceritakan Masjid al-Aqsa kerana ada di antara mereka yang pernah pergi. Sebenarnya kepantasan Israk Mi’raj ini berlaku sehingga Rasulullah sendiri tidak sempat melihat secara terperinci bangunan Masjid al-Aqsa, dengan bantuan Allah, Masjid al-Aqsa dibawa di hadapan mata Rasulullah yang sedang bercerita dan Rasulullah menceritakan bentuk Masjid al-Aqsa dengan begitu sempurna. Lalu ada dikalangan sahabat Abu Jahal yang yakin dan tidak kurang yang mendustainya.

Oleh itu, Israk Mi’raj dapat disimpulkan sebagai satu perjalanan kilat Nabi Muhammad SAW pada malam hari atas kuasa dan kehendak Allah dari Masjil Haram ke Masjidil Aqsa, kemudian naik ke langit sampai Sidratul Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah (suatu tempat di mana alam ini diatur) dengan menembusi tujuh lapis langit, lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.

Salah satu inti penting daripada peristiwa Israk dan Mi’raj ini ialah perintah solat yang diterima Nabi SAW di Sidratul Muntaha. Pada mulanya Allah SWT memberi perintah supaya mengerjakan solat 50 waktu sehari semalam. Tatkala bertemu dengan Nabi Musa a.s. dilangit keenam, Rasulullah SAW menceritakan perintah yang diterimanya daripada Allah. Lalu Nabi Musa a.s. menyarankan agar baginda kembali menghadap Allah SWT untuk memohon keringanan, dengan alasan bahawa umatnya tidak sanggup melaksanakan solat 50 waktu itu.

Disebabkan terlalu sayangkan umatnya, Rasulullah SAW menerima saranan itu, dan kembali menghadap untuk memohon keringanan. Permohonan itu berulang sebanyak sembilan kali hinggalah Allah SWT mengabulkannya dengan mengurangi waktu solat menjadi 5 kali sehari semalam.

Adapun waktu-waktu solat yang telah ditentukan itu ialah Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak. Waktu mengerjakan solat berkenaan diterangkan dengan jelas di dalam al-Quran, sepertimana firman Allah :

وَأَقِمِ الصَّلاَةَ طَرَفَىِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِّنَ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَلِكَ ذِكْرَى لِلذَّاكِرِينَ 1

Yang bermaksud: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan baik itu menghapuskan dosa perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan-peringatan bagi orang-orang yang ingat.”

0 comments: