BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Saturday, March 28, 2009

CERAMAH MAULIDUR RASUL DI KOLEJ ANGGERIK UITM

Alhamdulillah pada hari Rabu 25.03.09 saya dijemput berceramah sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW di Kolej Anggerik UiTM Shah Alam.

Majlis ini dihadiri oleh pelajar-pelajar puteri Kolej Anggerik, teringat semasa ceramah di Iskandariah Mesir yang semua pelajarnya terdiri dari pelajar perempuan. Kalau di Iskandariah dulu ingat lagi boleh berulang dari Kaherah yang jauhnya hampir 300 km. Bertolak petang dari Kaherah sampai di Iskandariah jam 8 malam terus ceramah dan kembali ke Kaherah jam 10 malam. Tapi bila agak malas untuk memenuhi jemputan ceramah yang agak jauh, teringat dulu di Mesir semua boleh, tak jadi malas.

Malam itu di UiTM, saya diberikan tajuk "Cinta Insan Teragung". Majlis ini adalah anjuran Institut Kefahaman Islam UiTM (CITU) telah dihadiri oleh para Pegawai Pembangunan Pelajar. Saya telah membawakan sejarah atau bukti bagaimana Rasulullah terlalu sayang kepada umatnya, apa yang buat saya terharu ialah terdapat beberapa pelajar menangis kerana tersentuh dengan ceramah saya yang menyingkap kisah Nabi SAW dalam memperjuangkan Islam demi umatnya.

Kali kedua berceramah di UiTM Shah Alam..... UiTM memang best.

Sunday, March 22, 2009

PERNIKAHAN ADIK PEREMPUANKU

Pada Hari Sabtu 21/03/2009 jam 2.30 petang di Masjid Temenggong Daing Abd. Rahman Benut, majlis akad nikah adik perempuanku Marliza binti Ramli bersama pasangannya Mohd. Shahrunnizan bin Suratmin berlangsung dengan lancar.

Apa yang menjadi sejarah buat diriku ialah inilah kali pertama aku menikahkan orang sebelum ini aku yang dinikahkan. Aku terpaksa memikul tanggung jawab yang ditinggalkan oleh Almarhum ayahku yang amat ku sayangi. Ini sebenarnya impian Almarhum ayahku untuk menikahkan sendiri anak perempuannya namun Allah menentukan segalanya...ayah pergi sebelum sempat menunaikan impiannya. Tanggung jawab dan amanat ayah telah ku laksanakan dengan sebaiknya, moga ayah tenang di sana. Aminnnnn.....

Alhamdulillah....pengalaman pertama menikahkan orang dan ini sebenarnya tanggung jawab yang besar sebab ia akan melibatkan kehidupan orang. Inilah amanah yang berat kerana menghalalkan apa yang diharamkan Allah sebelum dari ijab dan kabul ini. Makcik-makcik ku semua kata muka ku pucat mengalahkan pengantin... ye ke?Pucat sebab bedak tebal kot...atau cahaya lampu yang terang ....tapi sebenarnya tak berapa takut cuma tanggung jawab sebenarnya menyebabkan agak macam takut.....apa pun Alhamdulillah adik ku telah selamat diijab kabulkan dengan suaminya tepat jam 3.13 petang dengan 2 kali lafaz.

Sejurus upacara ijab kabul aku ke belakang memeluk umi, aku katakan padanya "Umi saya dah laksanakan impian ayah". Umi menangis sekuat hati sebab sedih sepatutnya ayah yang menikahkan iza...

Inilah salah satu coretan diariku yang aku rasa tak lupa sampai bila-bila. Bila dah pencen nanti aku nak mohon jadi naib Kadhi kampung aku lah ..... best jugak nikahkan orang.

Wednesday, March 18, 2009

CERAMAH MAULIDUR RASUL DI BANTING

Pada 15 Mac 2009 hari ahad yang lalu saya dijemput menyampaikan ceramah Maulidur Rasul di Surau Al-Ansor Taman Medan Jaya, Banting.

Hari tu hujan selebat-lebatnya sehingga banyak pokok tumbang. Saya keluar awal dalam pukul 6 ptg dari USJ, majlisnya bermual selepas Isyak....salah budget masa saya tersampai awal dalam jam 6.45 ptg jadi terpaksalah merayap dan lepak kat kereta.

Maghrib saya pun ke surau tersebut dan ketika itu Imam menjemput saya. Selepas solat Maghrib saya pun memulakan ceramah yang berkisar tentang Kalimah Syahadah, apa yang dimaksudkan dengan "Asyhadu"...kalau yang kita biasa lihat dikaca TV bila azan berkumandang ialah aku naik saksi...sebenarnya makna kalimah "ASyhadu" amat berat...ia membawa maksud "Kalau Allah ingin mencari saksi di kalangan manusia bahawa Tiada Tuhan melaikan Engkau Ya Allah....aku sanggup jadi saksi...begitu jugalah Asyhadu kedua kalau Allah ingin mencari saksi bahawa Muhammad itu pesuruhNya ...aku sanggup jadi saksi...persoalannya adakah kita benar kenal Allah dan RasulNya untuk menjadi saksi wajib mengenalinya.

Alhamdulillah...semua berjalan sebagaimana yang dirancangkan. Yang baik datangnya dari Allah dan yang buruk hakikatnya dari Allah tetapi atas kejahilan ilmu saya yang cetek ini. Moga ada kebaikan di sama.

CERAMAH DI UiTM SHAH ALAM




CERAMAH SIFAT SOLAT NABI MENGIKUT PANDANGAN IMAM AS-SYAFIE

Pada 14 March 2009 (Sabtu) yang lalu, saya telah dijemput untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk Sifat Solat Nabi Mengikut Imam As-Syafie di Dewan Makan Kolej Delima UiTM Shah Alam.

Ceramah anjuran Pelajar-Pelajar Kuliah Perubatan UiTM dan Pengurusan Kolej Delima & Anggerik serta Seroja telah dihadiri lebih dari 100 orang peserta. Bermula jam 9.30 pagi dan berakhir jam 1.30 petang yang mengupas sifat solat Nabi SAW daripada Takbiratul Ihram sehingga Salam berdasarkan pandangan serta dalil-dalil yang dikumpulkan oleh Imam As-Syafie.

Ceramah ini yang kedua kalinya berceramah di hadapan pelajar-pelajar universiti, pertamanya di UM bersama pelajar-pelajar Asasi Sains UM. Agak teruji dengan soalan-soalan yang dikemukan namun atas pengalaman dan ilmu yang diceduk di Al-Azhar Alhamdulillah dapat menjawab semua soalan.









Ketika sedang menyampaikan ceramah berkaitan solat Nabi


Antara bakal doktor yang mengikuti ceramah di UiTM


Tak tahulah mereka khusyuk mendengar atau sebaliknya

Syeikh Fadley turut membantu

Tuesday, March 10, 2009

KELAHIRAN NABI SAW


KELAHIRAN RASULULLAH SAW

Muhammad dilahirkan di tengah-tengah kota Mekah al-Mukarramah pada hari Isnin 12 Rabi'ul Awal bersamaan 20 April tahun Gajah. Tahun di mana peristiwa penyerangan ke atas Baitillah il-Haram oleh sepasukan tentera di bawah pimpinan Raja Abrahah.

Baginda dilahirkan dalam keadaan yatim setelah ayahnya Abdullah bin Abdul Mutalib wafat semasa Baginda berusia dua bulan di dalam kandungan.



BIDAN NABI SAW

Asyifa’ binti Abdul Rahman bin Auf


PERISTIWA YANG MENAKJUBKAN SEBELUM
KELAHIRAN MUHAMMAD SAW.

Kelahiran baginda menjadi seribu satu tanda bahawa Baginda akan menjadi utusan terakhir dalam menyampaikan risalah Islam. Ia merupakan peristiwa utama dalam sejarah Islam.

Baginda mempunyai kelebihan luar biasa, bukan sahaja dilihat dalam konteks sebelum kelahirannya tetapi dalam konteks semasa dan selepas dilahirkan. Banyak keajaiban yang berlaku sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Pertama, semasa Rasulullah SAW berada di dalam kandungan bondanya, Aminah, beliau tidak merasa susah sebagaimana dialami oleh ibu-ibu yang hamil.

Kehamilannya disedari melalui perkhabaran malaikat yang datang kepadanya ketika beliau sedang tidur. Malaikat mengatakan bahawa beliau telah mengandungkan seorang Nabi dan Penghulu kepada seluruh umat manusia.

Selain itu tanda kehamilannya ialah dengan haidnya terputus dan berpindahnya cahaya daripada wajah Abdullah ke wajahnya.

Kedua, ketika Nur Muhammad masuk ke dalam rahim Aminah, Allah memerintahkan malaikat supaya membukakan pintu syurga Firdaus dan memberitahu semua penghuni langit dan bumi.

Tanah-tanah di persekitaran kawasan tersebut yang kering menjadi subur, pohon-pohon kayu rimbun dan berbuah lebat. Begitu juga haiwan-haiwan di darat dan di laut sibuk membincangkannya.

Ketiga, peperangan tentera bergajah yang disebut di dalam al-Quran surah al-Fil, datang menyerang kota Mekah. Ia diketuai oleh tentera bergajah dengan menunggang seekor gajah besar bernama Mahmudi.

Apabila mereka hampir sampai ke tempat tersebut, gajah-gajah itu berhenti dan berundur dengan izin Allah.

Namun demikian, sekumpulan burung Ababil datang menyerang dan menghancurkan mereka sebagaimana yang disebut di dalam al-Quran. Peristiwa ini amat menakjubkan dan diriwayatkan dalam kitab-kitab sejarah.

Keempat, Aminah turut mengalami mimpi yang menakjubkan. Beliau menadah tangan ke langit dan melihat sendiri malaikat turun dari langit. Ia diumpamakan kapas putih yang terapung di angkasa.

Kemudian malaikat tersebut berdiri di hadapannya. Ia berkata ``Khabar bahagia untuk saudara, wahai ibu daripada seorang nabi. Putera saudara itu menjadi penolong dan pembebas manusia. Namakan dia Ahmad.''

Semasa kelahiran Nabi Muhammad SAW, Aminah ditemani Asiah dan Maryam. Dalam hal ini ia merupakan satu isyarat bahawa Nabi Muhammad lebih tinggi darjatnya daripada Nabi Isa dan Musa.

Keadaan ini diterangkan dalam kitab Taurat dan Injil bahawa akan datang seorang nabi pada akhir zaman.



PERISTIWA MENARIK SEMASA KELAHIRANNYA

Pada subuh hari kelahirannya, keadaan Mekah dan sekelilingnya ketika berada di dalam keadaan yang damai yang menenangkan jiwa. Angin yang bertiup sepoi-sepoi, keadaan alam ketika itu seolah-olah menyambut ketibaan tetamu agung yang tidak pernah dirasai oleh penduduk Mekah sebelum ini.

Kelahiran bayi ini disambut dengan suka cita oleh keluarga bani Hasyim. Di negeri Parsi, kelahiran Muhammad bin Abdullah memadamkan api-api keramat kaum majusi di kuil-kuil yang selama seribu tahun tidak terpadam semenjak dihidupkan. Kelahiran Muhammad juga menggoyangkan sendi-sendi istana Qisro Rumawi dan menyebabkan menaranya roboh. Muhammad lahir dengan membawa panji-panji risalah terakhir dari Allah untuk umat manusia.

Kita ketahui dari sejarah dan hadis bahawa ketika Nabi Muhammad saw lahir, dinding-dinding istana Qisro retak dan menaranya roboh. Api di kuil-kuil persembahan Parsi padam. Danau dan sawah mengering. Berhala-berhala yang memenuhi pelantaran Kaabah tumbang. Cahaya dari tubuh Muhammad memancar naik ke langit dan menerangi semua tempat yang dilaluinya.

Anusyirwan dan pendeta-pendeta Zaratustra mendapat mimpi yang menakutkan. Ketika lahir, Nabi kecil itu telah tersunat dan tali pusatnya pun sudah terpotong. Ketika lahir ke dunia, beliau berkata; “Allahu Akbar, alhamdulillah, Dialah Allah yang harus disembah siang dan malam.”

Peristiwa yang mengawal kelahiran setiap Nabi tidak ada yang terjadi secara kebetulan. Semua peristiwa itu berada dalam realiti dan perencanaan Allah, khususnya yang berkenaan dengan kelahiran Muhammad baik dalam kitab Taurat mahupun Injil. Allah berfirman kepada Nabi ‘Isa:

Maksudnya: ‘Dan ingatlah ketika ‘Isa putera Maryam berkata, “Hai Bani Israil, sesungguhnya aku adalah utusan Allah padamu, membenarkan apa yang sebelumnya dari Taurat pemberi kabar gembira dengan seorang Rasul yang akan datang sesudahku namanya Ahmad.” Maka tatkala dia datang kepada mereka dengan ketera-ngan-keterangan, mereka berkata: “Ini adalah sihir yang nyata.” (Surah al-Saff :6).

Thursday, March 5, 2009

DI SEBALIK HARI KEPUTERAANNYA 12 RABIUL AWAL TERSISIP HARI KEWAFATAN NABI SAW



WAFATNYA RASULULLAH SAW

Ketika subuh hari Isnin 12 Rabiul Awal tahun ke 11 hijrah apabila para sahabat dan umat Islam hendak masuk ke masjid untuk menunaikan solat Subuh, Rasulullah menyuruh Aisyah menjiruskan air ke badannya kerana ketika itu Baginda merasa dirinya sedang demam. Apabila Baginda merasa tidak mampu untuk keluar solat, maka Baginda berkata kepada Aisyah, “Suruhlah Abu Bakar untuk keluar solat bersama umat Islam.” Kemudian Aisyah berkata kepada Rasulullah, “Sesungguhnya Abu Bakar seorang lelaki yang lembut hatinya, apabila dia berdiri di tempatmu Ya Rasulullah, maka orang tidak akan mendengar bacaannya kecuali tangisan.” Dan Rasulullah tetap menyuruh lagi kepada Aisyah sebagaimana kata-katanya sebelum ini iaitu menyuruh Abu Bakar solat bersama-sama umat Islam.

Maka solatlah Abu Bakar mengimami umat Islam sebanyak 17 waktu bermula daripada waktu Isyak malam Jumaat sehingga akhir subuh hari Isnin. Tiba-tiba Rasulullah menyelak langsir biliknya sambil tersenyum memandang kepada mereka yang sedang berbaris untuk menunaikan solat subuh. Kemudian Abu Bakar mengundur ke belakang kerana ingin memberikan tempat kepada Rasulullah kerana beliau menyangka Rasulullah sudah kembali sihat.

Namun Rasulullah terus memberikan isyarat dengan tangannya kepada Abu Bakar supaya mereka semua tetap meneruskan solat. Kemudian Rasulullah SAW duduk disamping Abu Bakar lalu Abu Bakar solat mengikut solat Rasulullah SAW yang dilakukan dengan keadaan duduk, sementara mereka yang lain mengikut solat Abu Bakar.

Umat Islam merasa gembira kerana mereka menyangka dengan keluarnya Rasulullah itu bermakna Baginda sudah kembali sihat, tetapi sebenarnya sakitnya bertambah teruk ketika itu. Itulah kali terakhir Rasulullah menunaikan solat bersama-sama umat Islam. Kemudian Rasulullah menutup kembali langsir biliknya dan itulah juga pandangan terakhir Rasulullah kepada para sahabatnya dan umat Islam sebagai membuktikan bahawa Rasulullah sangat sayang kepada sahabatnya serta umatnya.

Rasulullah kembali ke bilik Aisyah lalu berbaring menyandarkan kepalanya ke dada Aisyah menghadapi sakaratul maut.

Tatkala Rasulullah di atas pangkuan Aisyah tiba-tiba pintu rumahnya diketuk seraya memberi salam. Aisyah pun pergi ke muka pintu dan bertanya “ Apa hajat tuan datang ke sini?” Lalu dia menjawab “Aku ingin menemui Rasulullah”. Aisyah menyatakan bahawa Baginda sedang sibuk dengan dirinya sendiri bermaksud bahawa Baginda sedang berperang dengan kesakitan, lalu mengatakan “pulanglah”. Orang tadi memberi salam untuk kali keduanya namun begitu jugalah jawapan yang telah diberikan oleh Aisyah dan apabila kali yang ketiga Baginda SAW terdengar suara itu dan terlintas di hatinya bahawa Baginda amat kenal dengan suara itu, lalu Baginda mengatakan kepada Aisyah “Suruh orang itu masuk!” dan Baginda berkata kepada Aisyah “Kamu kenal siapa dia?” Aisyah menjawab “Tidak” kata Baginda “Dialah pemutus kesenangan dunia, dialah pemisah orang yang disayangi, dialah Izrail Malaikat Maut”.

Baginda bertanyakan kepada Izrail apa tujuan kedatangannya, lalu Izrail berkata “Allah perintahkan aku mencabut nyawamu tetapi sekiranya diizinkan olehmu Ya Rasulullah. Kalau tidak Allah mengarahkanku kembali”. Nabi bertanya “Dimana kau tinggalkan sahabatku Jibril”. “Aku tinggalkan dia di langit dunia” jawab Izrail. “Kenapa?” tanya Baginda SAW. “Dia tidak sanggup melihatmu menghadapi sakaratul maut”. “Panggillah dia” pinta Baginda. Sejurus daripada itu Malaikat Jibril pun turun berada di sisi Rasulullah. Baginda bertanya kepada Jibril “Wahai kekasihku kenapa kau lambat datang menziarahiku”. Berjujuran air mata Jibril tanpa sebarang suara kerana menahan sebak melihat kekasihnya Muhammad berada di dalam kesakitan.

Izrail pun meminta keizinan Baginda untuk menjalankan tugas lalu Baginda berkata “Lakukanlah”. Apabila ruh ditarik dari ubun-ubun, Baginda mengerang kesakitan sambil berkata “Wahai Izrail sakitnya mati ini” Izrail berjujuran air mata seraya menjawab “Tidak pernah aku mencabut ruh seseorang selembut ini melainkan kepadamu Ya Rasulullah”.

Rasulullah mengadu kesakitan, berpeluh dahi Baginda menahan kesakitan sakaratul maut. “Wahai kekasihku Jibril, sakitnya mati ini, bagaimana umatku mampu menanggungnya”. Malaikat Jibril tidak mampu berkata-kata hanya menangis sahaja. Baginda berkata “Wahai kekasihku Jibril, kenapa kamu tidak menjawab dan kenapa kamu berpaling, adakah kamu benci melihat wajahku? Barulah Jibril bersuara “Wahai kekasihku, sebenarnya aku tak sanggup melihat kau dalam keadaan begini” beliau menangis semahunya. “Wahai Jibril, sakitnya mati ini, bagaimana umatku mampu menanggungnya. Wahai Jibril, kumpulkan sakit mati seluruh umatku biar aku yang tanggung sekarang ini” begitu Rasulullah sayang kepada umatnya dan bimbang umatnya tidak mampu menahan sakitnya mati namun permintaannya tidak diperkenankan Allah.

Baginda membuat permintaan kepada Jibril “Wahai Jibril berilah berita gembira kepadaku sebelum aku meninggalkan dunia ini” Malaikat Jibril mengatakan kepada Rasulullah bahawa seluruh pintu-pintu syurga dibuka dan para bidadari sedang berhias-hias menanti ruhmu. “Wahai Jibril, aku masih tidak gembira, berilah berita gembira kepadaku sebelum aku meninggalkan dunia yang fana’ ini”. Jibril berkata “Sesungguhnya seluruh para malaikat sedang berbaris di langit dunia menantikan ruhmu di angkat”.

Rasulullah SAW mengulangi lagi katanya, “Wahai Jibril ia masih tidak menggembirakan aku, ya Jibril! Berilah berita gembira kepadaku” Malaikat Jibril pun menyatakan “Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah memberi jaminan bahawa tidak akan masuk syurga umat-umat lain melaikan umatmu dahulu memasukinya”. Tersenyum Rasulullah mendengarnya, ini membukti kan cintanya yang mendalam terhadap umatnya. Dan akhirnya pergilah Rasulullah SAW menemui Allah SWT dengan tenang.

Baginda SAW wafat dengan meninggalkan sembilan isterinya, iaitu Saudah, Aisyah, Hafsah, Umu Habibah, Zainab al-Jahsy, Juwairiah, Safiah dan Maimunah.

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEPUTERAAN NABI SAW

Mari kita renungkan adakah kita yang menyambut Hari Keputeraan Nabi SAW benar2 ikhlas dalam hati kita atau sekadar mengikut-ikut... atau sekadar budaya?

Cinta kita cinta yang asli dan setia atau cinta yang sebenarnya bukan lahir dari hati....

Bayangkan bagaimana Abu Jahal dan Abu Lahab mendapat perkhabaran tentang kelahiran Nabi SAW, merekalah orang yang paling gembira. Sehingga Tsuyaibah hamba Abu Lahab yang membawa perkhabaran kepadanya terus dimerdekakan hanya kerana Tsuyaibah membawa berita gembira kepadanya.

Abu Jahal dan Abu Lahab masing2 menyembelih 100 ekor kambing setiap seorang semata-mata meraikan kelahiran Nabi SAW. Namun bila Nabi dibenci hanya kerana menyebarkan agama Islam dan menggugat kedudukannya di bangsa Quraisy.... Abu Jahal dan Abu Lahad bapa saudara sendiri Nabi menawarkan dengan 100 ekor unta bagi sesiapa yang dapat menangkap Nabi hidup atau pun mati....

Di awal kelahirannya 100 ekor kambing ....tanda cintanya tetapi bila benci tanda bencinya mereka menawarkan 100 ekor unta yang lebih besar nilainya hanya kerana ingin menghapuskan orang pernah disayangi dulu.

Persoalannya .....kita yang baru tumbangkan 1 ekor kambing sudah berani melawan sunnah mempertikai hadis-hadis Nabi SAW sehingga ada yang mengatakan bahawa hadis Nabi tidak sesuai untuk zaman ini.